MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004 |
Suasana kempen di Teluk
Kemang semakin rancak. "Memang pada tahap awal, kami tidak menyangkakan bahawa
Barisan Alternatif mampu menunjukkan semangat berkempen seperti yang ada sekarang
ini;" demikian kata seorang penduduk asal Teluk Kemang. Pada satu ketika dulu, dia
merupakan orang kuat UMNO, tetapi mengundurkan dirinya dan lebih senang tidak menjadi ahli
mana-mana parti.
Sebenarnya saya tidak pun tahu yang kawan lama saya itu tidak
menjadi ahli UMNO lagi kerana di awal enam-puluhan dulu, dialah manusia UMNO yang ligat ke
sana-sini, memukul canang menyuruh orang Melayu menjadi ahli UMNO sampai mati. Saya pergi
ke Teluk Kemang sejak Ruslan mula berkempen lagi dan kerap ke rumah sahabat lama saya ini
untuk duduk bersembang, mandi-manda dan menukar pakaian setelah lama berpeluh dipanah mentari
yang bercampur dengan bayu masin dari laut. Hanya ketika selesai zohor di Masjid
Bagan Pinang siang tadi dia memberitahu akan rahsia kenapa dia keluar daripada UMNO.
"Kalau
secara teknikal aku memang masih lagi menjadi ahli UMNO kerana akulah pengasas cawangan
UMNO dan bahagian yang itu. Waktu itu Si Isa S (singkatan 'Samad' dan mungkin juga satu
perkataan lain yang amat digemari oleh orang Teluk Kemang, untuk menyebutnya) masih
merangkak lagi. Masih bertelanjang bogel pun...." Kami yang menjadi tetamunya
kali ini, merasa hairan juga. Kami fikirkan beliau masih pekat lagi pemikirannya terhadap
UMNO.
"Tidak.....memang sudah lama aku tidak aktif dalam parti. Walaupun Isa pernah
meminta aku bergiat semula. Aku menolaknya, seperti juga aku menolak bintang-bintang yang pernah
ditawarkan pada aku ketika Yam Tuan Besar menjadi Agong pertama negara dulu."
Kawan
saya ini memang pernah ditawarkan beberapa gelaran dan bintang ketika zaman mudanya. Dia
telah menolak semuanya kerana tidak mahu menjadi beban kepada dirinya.
Memang
sayang sekali, kita tidak dapat menyebut nama tokoh UMNO lama yang berada di Teluk Kemang
bersama saya dan beberapa orang sahabat lama. Tetapi apa yang ditulis kali ini adalah
fakta yang mencerminkan keadaan kempen pilihanraya kecil di Teluk Kemang di mana seorang
calon Melayu menjadi wakil Barisan Alternatif sedangkan seorang calon MIC menjadi wakil
Barisan Nasional.
UMNO Yang Semakin Keliru
Siapakah yang boleh
menyangkakan, suasana kempen pilihanraya kali ini akan bertukar rupa hingga mampu
menggugat kewibawaan UMNO? Pada pemilu November 1999 dulu, kesetiaan orang Melayu memang
tidak dipertikaikan, kerana ketika itu dua calon yang bertanding adalah dari kalangan satu
kaum yang sama. Kerana itu apabila Samy Vellu membuat pengumuman akan tercapainya satu
majoriti undi yang lebih besar daripada pusingan yang lalu, ramai pemimpin UMNO yang
percaya dengannya dan sanggup menganggukkan kepala di depan pancaran lampu TV dan kamera.
Kini, analisis awal itu sudah tidak boleh dipakai lagi. Orang UMNO di seluruh Teluk Kemang
sedang berpecah pendapat. Sekaligus, UMNO sudah semakin bercelaru sehinggakan Isa Samad
yang menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan merasakan betapa kewibawaannya sebagai pemimpin
sudah semakin tercabar.
Seminggu sudah pun berlalu sejak orang Teluk Kemang bersiap
sedia untuk berkempen. Kerja-kerja memasang sepanduk dan segala bentuk bendera yang
dilakukan dulu oleh UMNO sudah semakin rancak. Pihak BA tidak mahu ketinggalan. Sepanduk
dan pelekat tertampal di sana sini. Kalau kita menyusuri Teluk Kemang daripada Sepang kita
akan lihat betapa meriahnya sepanduk itu terpasang di sana sini bermula daripada Ladang
Bukit Pelanduk. Dari situ semangat kempen itu nampak lumpuh kerana adanya
tanda-tanda penghuni ladang yang masih lagi berkabung di atas kematian sanak saudara dalam
episod ngeri wabak JE.
Keadaan semakin berubah apabila kita memasuki kawasan Ladang Tanah Merah sehinggalah kita sampai ke pekan Lukut. Satu ketika dulu,
inilah pekan yang penuh dengan bendera MCA dan gerakan. Setiap kali diadakan pilihanraya,
pekan ini akan dipenuhi dengan kibaran pelekat Barisan Nasional. Tetapi kali ini,
kita nampak jelas betapa kemeriahan seperti itu sudah tinggal sejarah sahaja. Sekaligus,
kita semakin dijolok oleh desas-desus betapa kempen kali ini memang ketandusan sokongan
masyarakat Cina. Kalau betullah desas-desus ini, bererti Isa Samad berada dalam satu
situasi yang menyengatnya kerana tanpa sokongan kaum Cina, keputusan pilihanraya kecil
Teluk Kemang sudah tentu tidak akan menjanjikan kemenangan besar kepada Barisan Nasional
seperti yang diimpikan oleh Samy Vellu.
Kota Lukut Menjadi Saksi
Semalam
saya mula berada di Teluk Kemang semula. Saya menemani tiga orang sahabat lama dan kami
menyewa bilik di sebuah hotel bertaraf lima bintang tidak jauh daripada Masjid Bagan
Pinang. Kami mahu mengikuti aktiviti kempen Teluk Kemang. Tidak kira siapa yang berkempen.
Kalau orang UMNO berkempen kami pergi dan kalau orang BA yang berkempen kami pergi juga.
Sahabat saya semuanya sudah berpendirian, kalau usia sudah melepasi enam puluh tahun, apa
perlunya bergantung kepada parti politik. Lebih baik menjadi saksi suasana sahaja.
Pagi
tadi selepas subuh kami pergi ke Kota Lukut. Kami mendapat maklumat adanya satu pesta
rakyat selama sepuluh hari di situ dan tamat pada 10 Jun nanti. Nampak sangat pesta itu
diadakan bersempena pesta berkempen. Memang, saya pernah mendaki Kota Lukut itu
berkali-kali di masa persekolahan dulu, semata-mata mahu menikmati keindahan
persekitarannya. Kali ini, saya fikir itu mungkin kali terakhir saya dan sahabat lama
pergi mendaki bukit itu lagi. Cuma kali ini, sudah ada anak-tangga yang baru dibina oleh
Isa S untuk orang lama seperti kami. Mungkin, Isa sendiri pun belum ke situ lagi,
maklumlah beliau sibuk kali ini.
Kota Lukut telah dibina oleh Raja Jumaat yang
bertakhta di situ daripada 1846 hingga 1864. Kawasan kota ini telah dibuat dengan
membina satu parit yang dalamnya lima belas kaki untuk menjadi benteng tahanan
daripada serangan musuh. Luas kota adalah 607 kaki panjangnya dan 505 kaki lebarnya.
Di sana terdapat tiga telaga, termasuk satu telaga beracun. Di kemuncak bukit
terdapat kesan tapak istana raja itu. Tidak ada kesan sebarang makam di situ kerana
makam Raja Jumaat memang berada di tepi jalan Lukut ke Port Dickson, bertentangan dengan
balai polis Lukut.
Seperti yang saya tulis dalam 'Sekali Air Bah...' sepatutnya
tanah kawasan di persekitaran Kota Lukut hinggalah ke arah Sungai Lukut adalah hak Raja Jumaat
dan sepatutnya menjadi hak orang Melayu yang mewarisi keluarga di raja itu.
Kenapakah kini, tidak ada satu pun rumah orang Melayu di situ? Malahan, kalau kita teliti
kedudukan Masjid Lukut yang berada di sebelah balai polis Lukut, kita akan semakin yakin
sepatutnya seluruh kawasan yang mengelilingi masjid itu adalah kawasan rezab Melayu.
Apakah yang sudah jadi kepada sejarah Negeri Sembilan sehinggakan tanah rezab Melayu itu
sudah tidak lagi dihuni oleh orang Melayu? Memang saya masih ingat ketika zaman
persekolahan dulu, jalan menghala ke Kota Lukut itu memang merupakan satu lorong kecil di
mana di kiri dan kanannya di tumbuhi pokok getah dan hutan belukar. Ada juga kawasan
tanaman tebu di beberapa tempat di situ. Yang nyata, seluruh kawasan itu adalah kawasan
bekas perkampungan orang Melayu.
Ketika sampai ke tapak kota itu, kami terkejut
dengan pembangunan yang dilakukan di situ. Sudah ada beberapa bangunan batu yang baru
untuk dijadikan muzium dan tempat membeli belah kemudahan pelancung, barangkali. Soalnya
sekarang, berapa lamakah pekedai di situ dapat bertahan? Di bahagian bawah tapak kota itu
di letakkan pula tiga jenis kereta perisai tentera dan satu lori tentera yang lama sebagai
bahan pameran tentera. Rupanya, pameran itu baru sahaja bermula pada 4 Jun, 2000. Ada
beberapa jenis senapang yang ditunjukkan di situ. Saya bertanya kepada seorang askar yang
bertugas di situ; 'Di manakah pelurunya?' Pegawai yang datang daripada 'Dua Armour'
menjawab: 'Semua peluru adalah peluru hidup, tentunya berbahaya untuk dipamerkan.' Kalau
pameran adalah satu sumber pendidikan kenapa tidak dibawa peluru kosong sebagai
bahannya?
Nampak sangat, pameran tentera itu hanya sebagai melepaskan batuk di tangga. Kereta perisai 4x4 di situ dikatakan sudah berusia enam belas tahun. Ada
satu jenis yang lebih kecil di situ yang saya taksirkan sudah berumur lebih lima puluh
tahun. Mungkin itulah yang pernah digunakan ketika menjadi pengiring Jeneral Gurney yang
ditembak mati di Bukit Fraser dulu. Ketika membelek kereta lama itu saya teringatkan
pelawak yang bernama Yahaya Sulung. Dia pernah bertugas sebagai Sarjan Polis dan pernah
diserang hendap oleh komunis ketika mengiringi Henry Gurney. Lantas teringat pula saya
akan cerita bagaimana Pakya masih lagi menunggu wang pencennya daripada polis setelah
berkhidmat begitu lama. Bilakah agaknya wang pencen Pakya itu akan terbayar sedangkan
usianya sudah pun manjangkau tujuh puluh tahun?
Pameran pengangkutan tentera di
Kota Lukut itu memang memberi iktibar kepada sesiapa yang mahu berfikir. Bayangkanlah
tujuan sebenarnya pameran itu adalah untuk mendidik anak bangsa mengenal alat yang
digunakan dalam mempertahankan negara. Tetapi sayang, tidak ada contoh senjata seperti
peluru, 'grenade-launcher' dan bom asap yang digunakan oleh kereta perisai itu. Semua itu
sebenarnya ada yang berbentuk 'dummy' ataupun peluru kapur. Cuma tidak mahu dibawa untuk
dijadikan bahan pameran. Apakah rakyat Malaysia sudah dikira canggih pemikirannya dan
sepatutnya mampu memikirkan melalui imaginasi bagaimanakah rupanya bentuk peluru hidup itu
sebaik sahaja melihat senjata yang ada?
Inilah konsep kerajaan pimpinan UMNO.
Rakyat mesti berfikir waras dan menggunakan imaginasi sahaja. Demikianlah caranya UMNO
memerintah masa kini. Apa yang disogok mesti diterima secara membuta-tuli. Itulah persepsi
mereka. Tugas UMNO ialah memimpin Barisan Nasional. Tugas Barisan Nasional ialah
memerintah negara. Apa saja yang disogokkan oleh UMNO kepada Barisan nasional perlu
diterima sebagai dasar pemerintahan. Kerana itu apa yang disogokkan oleh UMNO kepada orang
Melayu mesti diterima juga sebagai panduan hidup untuk orang Melayu. Tidak kiralah samada
yang disogokkan itu boleh diterima oleh fikiran yang waras ataupun tidak. Kerana itu kalau
UMNO berkata Ruslan Kasim pembelot orang Melayu mesti akur juga...! Tidak ramai ahli
UMNO yang mahu mempertikaikan apakah benar Ruslan Kassim seorang pembelot?
Lalat
dan Nyamuk di Teluk Kemang
"Sekarang ini, ialah musim lalat dan nyamuk
menyerang Teluk Kemang." Inilah jawapan spontan para peniaga di Teluk Kemang. Baik
yang menjaja makanan dan minuman di tepi jalan, ataupun di kedai makan ataupun yang
bertugas di 'coffee-house' di hotel besar. Lalat memang banyak kali ini, lebih banyak daripada biasa. Ketika JE melanda Bukit Pelanduk, lalat tidak melanda Port Dickson seperti
ini. Di sebelah malam pula, nyamuk datang berganda-ganda laksana menggantikan peranan
lalat di siang hari? "Dari mana datangnya semua ini?' merupakan soalan saya yang amat
mudah disoal kepada peniaga yang saya temui.
Apabila para penternak khinzir
mengalami masalah besar dalam penternakan khinzir, ramai suku-sakat mereka yang keluar
daripada Bukit Pelanduk untuk memulakan industri baru. Mereka "dibiarkan untuk
meneroka kawasan lain" untuk memulakan hidup baru. Mereka digalakkan memelihara ayam
dan itik serta ikan air tawar. Oleh kerana modal yang kecil segala bentuk pengurusan yang mengawal kesihatan menjadi terabai dan piah yang berkuasa pun sengaja
membiarkan saja
perkara ini kerana berasaskan sikap 'simpati'. Bahananya ialah lalat yang mengharungi lori
pengangkut ternakan yang keluar daripada kawasan ternakan untuk mengangkut ke
bandar-bandar. Inilah lalat yang seterusnya ditiup oleh angin laut.
Begitu juga dengan
keadaan nyamuk yang menyerang Teluk Kemang di waktu malam. Seorang teman membuat
ulasan dan berkata: 'Jangan pula awak hairan kalau ada orang kita yang memberitahu mereka
makan di siang hari dalam kelambu dan tidur di malam hari dengan kelambu juga.' Kalau tiga
puluh tahun dulu kita dengar orang kata kegunaan kelambu ialah untuk orang Melayu makan di
siang hari, tentu orang itu kita katakan orang yang sudah gila.
Inilah hakikat yang
sebenarnya di Teluk Kemang sekarang ini. Pantai Port Dickson yang sepatutnya bertukar nama
kepada nama orang Melayu, kini diserang lalat di siang hari dan nyamuk di sebelah malam.
Inilah kawasan persisiran pantai kegemaran Isa S yang difikirkan menjadi pusat pelancungan
terulung di Negeri Sembilan.
Beginilah terjadinya kepada Teluk Kemang yang
digembar-gemburkan sebagai pusat pelancungan. Oleh kerana takutkan pelancung asing akan
terlupa datang bersantai di situ kerajaan UMNO yang kerap berlagak sebagai pejuang bahasa
ibunda masih takut untuk menukarkan nama Port Dickson kepada nama yang mencerminkan keMelayuannya. Sedangkan perkataan 'Dickson' datangnya daripada seorang pegawai daerah
British yang dikatakan bertanggungjawab memajukan Teluk Kemang. Tetapi, kalau kita
selidiki apakah yang sebenarnya dilakukannya dan apakah peninggalan kegemilangan pemerintahannya
yang boleh dibanggakan itu?
Keengganan UMNO menukar Port Dickson
kepada (contohnya) Pantai Damai, Pantai Dewata (kalau mahu ikut selera seorang Diktator
tua) ataupun Pantai Diktator (kalau mahu mengingati kegilaannya) harus kita ambil sebagai iktibar. Bukankah itu yang berlaku
masa kini? Bayangkan sebuah kawasan parlimen di mana
pengundi Melayu adalah lebih daripada 47% mesti diwakili oleh orang India yang tidak pun melebihi
dua puluh peratus kaumnya di situ?
Bila Nyamuk Berotak Lalat
Kira-kira
lima tahun yang lalu Tan Sri Isa Samad pernah membuat janji kepada penduduk Melayu Teluk
Kemang bahawa dia akan berusaha mengemukakan nama seorang calon Melayu bagi kawasan
parlimen Teluk Kemang. Kerana itu orang Melayu telah memangkah BN. Tetapi, di pemilu
November 1999 yang lalu Isa Samad telah mungkir janji. Kerana itu ramai orang Melayu yang
marah dengannya. Tetapi, di saat akhir, usaha memujuk rayu masyarakat Melayu yang
dilakukan oleh veteran UMNO telah turut membantu menyejukkan masyarakat Melayu itu.
Dibantu pula oleh undian tong hantu yang datangnya dari pengundian tentera, BN menang
dengan majoriti undi yang besar. Majoriti orang Melayu yang merasa tertipu dengan
keputusan itu merasa malu dengan diri sendiri. Mereka sedar betapa penipuan telah berlaku.
Tetapi apa yang boleh mereka lakukan sedangkan keputusan sudah diumumkan. Oleh kerana itu
tercetus beberapa insiden di mana kepimpinan Isa Smad dipertikaikan oleh akar umbi parti.
Dengan
kuasa Allah kali ini Isa terpaksa berdepan dengan kenyataan. Janji manisnya belum
tertunai. Pilihanraya kecil Teluk Kemang akan menjadi penentuan berapa lamakah lagi Isa
Samad dapat bertahan menerajui UMNO dan BN di Ngeri Sembilan. Inilah yang dikatakan manusia boleh merancang, kuasa veto di tangan Allah SWT jua.
Samy Vellu sudah
bersuara lantang dengan majoriti yang lebih besar. Paklah sudah bersuara garang
dengan menuduh Ruslan Kassim sebagai pembelot negara. Hisyamuddin Onn (dalam ucapannya
semalam di pesta air Rakan Muda) telah berani berkata bahawa "kita tidak ada masa
dengan kerenah parti pembangkang kerana UMNO adalah satu parti keramat." Rafidah pula
sudah turun ke padang untuk mengagihkan hadiah kepada golongan yang miskin di Teluk
Kemang. Semua rencana memancing undi semakin pesat sekarang. Jumlah perayu undi untuk
merayu sokongan semakin bertambah. Taktik yang dilaksanakan di Sanggang sedang
dipraktikkan di Teluk Kemang. Nampaknya Barisan Nasional semakin yakin untuk menyapu Teluk
Kemang sekali lagi. Congakan UMNO, orang Melayu Teluk Kemang tidak banyak berbeza
dengan orang Melayu di Sanggang.
Oleh kerana terlalu yakinnya UMNO dengan
kemenangan itu, si pemimpin terulung UMNO tidak perlu menghadirkan diri di Teluk Kemang
untuk merayu undi. Dr. Mahathir dikatakan sedang bersiap untuk terbang ke Jepun menghadiri
persidangan ekonomi. Orang Melayu akan dikelentong lagi kali ini di Teluk Kemang. Orang
Melayu Teluk Kemang semakin bercelaru kerana UMNO Teluk Kemang yang sedang bercelaru.
Laksana nyamuk yang berotak lalat pemimpin UMNO sudah keliru apakah betul orang Melayu
akan memangkah calon yang dianjurkan oleh MIC kali ini?
Oleh kerana terlalu ramainya
pemimpin UMNO di Teluk Kemang masa kini, segala janji manis yang dikatakan semakin
dipersoal oleh orang Melayu, apakah akan dikotakan? Malahan janji-janji yang ditabur itu kalau
direkodkan dan dibentangkan balk kepada mereka secara individu, kita yakin para
pemimpin itu sendiri akan kebingungan sesama mereka. Mulalah nyamuk menyanyikan lagu
lalat yang pasti akan memeningkan semua yang ada. Tetapi apakah orang Melayu Teluk Kemang
akan tertipu lagi kali ini? Mungkinkah majoriti yang lebih besar akan menyebelahi BN kali
ini?
"Teluk Kemang kali ini akan menggegarkan UMNO, lihatlah
nanti...!" Demikian kata-kata beberapa orang Melayu di Cembung dan Linggi yang saya
temui. Saya terkejut dengan kenyataan ini. Tetapi inilah yang kami dengar ketika
berada di serambi sebuah rumah kenalan lama selepas berhenti sembahyang asar di sebuah
surau di sana.
"Isa Samad dan Mahathir sudah tersilap langkah kali ini..."
demikian pendapat tuan rumah yang mempelawa kami untuk minum teh petang. "Terlalu
banyak peristiwa yang berlaku yang tidak dilapurkan di akhbar perdana tetapi diketahui juga
oleh rakyat. Kerana itu rakyat mula menyoal diri mereka. Kenapakah berita sensasi seperti
ini dipadamkan? Apakah ini tujuan sebenar pihak pembangkang tidak dibenarkan menerbitkan
akhbar sendiri? Kenapakah Mahathir mahu menyekat kita membaca akhbar yang bebas?"
Orang
Melayu Teluk Kemang memang tidak sama dengan orang Sanggang. Satu ketika dulu orang di
Sanggang terpaksa dilekakan untuk menerima ribuan pendatang daripada negeri lain sebagai
tetamu. Mereka diberi imbuhan untuk melayan tetamu yang datang dan kemudiannya dibawa
terus ke tempat mengundi untuk memangkah UMNO. Taktik yang sama dilakukan kali ini tetapi,
pihak BA sudah ada jawapannya.
Ada satu peristiwa yang berlaku di seluruh negara
yang tidak dilapurkan oleh akhbar perdana akan kesannya. Satu pengumuman tenang penarikan
biasiswa kepada pelajar matrikulasi yang 'kurang layak' telah mencetuskan satu gerakan
bantahan yang menakutkan. Di beberapa pusat pengajian ada pelajar yang membakar tilam, ada
pula yang merosakkan harta benda sebagai bantahan. Semua ini tidak dilapurkan. Kerajaan
Mahathir telah menarik balik peraturan baru itu dan mengekalkan peraturan yang lama.
Tetapi, keadaan masih belum reda kerana banyak pusat pengajian yang melaksanakan kursus matrikulasi
ini tidak pun mempunyai kelengkapan yang secukupnya. Sebagai contohnya ialah
di Senaling, Kuala Pilah. Ramai pelajar yang berhenti kerana makmal yang belum lengkap dan
kemudahan yang belum selesa. Semua ini tidak diberitahu kepada umum kerana kerajaan Isa
Samad pasti akan merasa malu. Keadaan seperti ini tidak mudah ditutup kerana ia laksana
menutup bangkai gajah dengan nyiru sahaja. Begitulah juga halnya dengan keadaan para
penghuni pusat serenti di Jelebu yang sedang bergelora.
Ramai orang Melayu
berpendapat, kali ini Isa Samad akan mengharungi zaman yang sukar yang akan menandakan
kemerosotan kepimpinan UMNO di Negeri Sembilan. Walaupun Hisyamuddin Onn berbangga dengan
sikap para anggota Majlis Tertinggi Pergerakan yang berkampung di Teluk Kemang sejak
hari penamaan calon dulu, orang Melayu di Teluk Kemang tidak mudah terpikat dengan segala
gelagat itu. Yang penting kepada mereka sekarang ialah masa depan Bangsa Melayu. Mereka
tidak mudah lagi dipancing dengan slogan Melayu Baru, Bangsa Besar adalah Bangsa Yang
Sabar dan sebagainya itu. Apatah lagi dengan slogan "Kini, dan Selamanya....!"
Orang Melayu Teluk Kemang sudah bersedia melakukan satu pembaharuan yang akan mengejutkan.
Selama
satu minggu saya berada di Teluk Kemang, saya memang merasakan kelainan di antara suasana
pilihanraya kecil di Sanggang dengan suasana di Teluk Kemang. Semangat juang yang
ditunjukkan oleh perajurit negara sejak zaman orang Melayu menentang pemerintahan British
dulu memang semakin ketara, kini. Besar kemungkinan orang Melayu Teluk Kemang akan
melakukan satu kejutan yang di luar dugaan penganalis politik.
Pilih Satu Antara
Dua
Yang lebih menakutkan kita sekarang apakah impaknya nanti terhadap
persekutuan parti-parti komponen BN di Negeri Sembilan. Kalau kita lihat keputusan
pilihanraya ke-10 dulu, tidak ada parti pembangkang yang menang kerusi parlimen. Malahan
ada kerusi negeri yang dimenangi oleh orang bukan Melayu sedangkan majoriti terbesarnya
adalah orang Melayu. Semua ini diungkit kembali oleh orang Melayu di Teluk Kemang. Ada
seorang teman yang bercerita akan kemenangan BN di Senawang. Cuba lihat kawasan Senawang
katanya. Kawasan itu telah dimenangi oleh calon Gerakan tetapi majoriti pengundi ialah 90%
Melayu. "Kemenangan seperti inilah yang meyakinkan pemimpin BN kali ini. Mereka sudah
terlalu yakin betapa orang Melayu akan memilih calon bukan Melayu selagi mereka datang
daripada BN. Tetapi, pisang tidak akan berbuah dua kali...!"
Memang
sudah menjadi satu tradisi dalam strategi BN di Negeri Sembilan menyogokkan sesiapa
sahaja di kawasan di mana majoriti orang Melayu akan mengundi calon BN. Kerana itu
mereka yakin untuk menang sekali lagi di Teluk Kemang. Tetapi, kini timbul satu soalan
yang didengungkan oleh orang Melayu Teluk Kemang. Orang Melayu Teluk Kemang diminta
membuat pengorbanan kali ini. Mereka disuruh berkorban dan membuat ikrar di antara satu
sama lain:
Pilih antara satu: "Pangkah Masjid ataupun pangkah Kuil?"
Saya
terkejut dengan soalan ini. Bagaimanakah orang Melayu Teluk Kemang boleh terfikirkan
soalan seperti ini? Soalan begini adalah lebih berbahaya daripada soalan:
"Pilih
antara dua: Pangkah si Pembolot ataupun si Pembelot....?"
Apakah pula
pilihan anda?
-Marhaintua-
Teluk Kemang
5 Jun, 2000.
|